Wednesday, April 2, 2014

Cerpen_Diari Pelangi



Assalammualaikum wbt..

saya jenis yang suka mengarang (tapi bukan yang suka bgosip tahu! sbb sya ni boleh dikategorikan sebagai budak baik...alkisahnyalah.. hehe) saya sebenarnya nk jadi seorang penulis dn skrg tengah berjinak2 nk buat novel. Tapi entri kali ni adalah cerita cerpen... rajin-rajinkanlah diri untuk baca ok.. hikhik.. n kasi komen sikit kalau boleh..., :P


Petang itu cuaca sangat indah, seindah pelangi petang yang memancar di kaki bukit sana. Balqis duduk di anjung asrama sambil ligat memerhatikan teman-teman sekuliahnya yang rancak bermain bola jaring di gelanggang khas yang terletak bertentangan dengan asrama mereka. Dia menarik nafas panjang sebelum dikejutkan oleh suara nyaring teman baiknya, Syifa.
“Balqis, kau tak nak main sama ke? Jomlah... buang lemak dekat perut kau tu,” teriak Syifa kuat. Kelihatan Syifa bercekik pinggang di tepi gelanggang sana. Mendongak kepalanya melihat Balqis di anjung asrama.
‘Amboi dia ni... tak sayang mulut betul. Buat malu aku aje’ guman Balqis dalam hati. Kalau boleh mahu saja dia menzahirkan kata-kata itu tetapi dia sedar yang dia bukanlah jenis yang suka teriak-teriak begitu. Malu dan segan masih wujud dalam hati wanitanya. Cukup sekadar menggeleng sahaja.
“Jomlah, macamlah kau tak tahu cara main bola jaring ni.” Syifa masih mahu mengajak tetapi Balqis tetap mengeleng keras. Malas dia hendak turun ke bawah. Lagi pula sekejap sahaja lagi akan masuk waktu Maghrib. Dan sudah menjadi kebiasaannya, sebelum azan Maghrib berkumandang dari Masjid kampus, dia akan mandi dan membersihkan diri, mahu solat di awal waktu.
 Perlahan-lahan Balqis masuk ke bilik asrama. Tetapi dia tidak terus ke bilik air. Duduk lagi dia di birai katil Syifa yang berdekatan dengan tingkap bilik asrama mereka. Tanpa dipinta, terlayar bayang seseorang yang cukup serasi dengan jiwa dan ingatannya. Balqis senyum sendiri. Senyum yang entah apa ertinya itu. Hampir setiap hari, bayangan itu pasti akan terlintas di mindanya. Dan perlahan-lahan dia menguak sedikit langsir tingkap. Ada beberapa mahasiswa yang sedang berjoging di halaman asrama di sebelah sana. Balqis masih ingat lagi, dulu suasana asrama mahasiswa itu indah dan berseri-seri pemandangannya. Tapi sekarang semuanya jadi suram... sepi... sunyi... dan tak mungkin akan sama seperti dulu. Sungguh! Ada rasa pedih yang menyelubungi perasaan Balqis saat itu.
 “AstaghfirullahAladzim...” panjang Balqis beristighfar. Laungan azan yang berkumandang di Masjid kampus menyetakkan sedar Balqis. Jauh sungguh dia mengelamun. Sampai-sampai niatnya untuk mandi sebelum masuk waktu solat Maghrib tergendala jadinya.

*     *     *

02 April 2011
-          Petang tadi, aku dan Syifa jalan kaki je ke kelas sebab kereta Atul ada dekat workshop. Rosak gara-gara accident hari tu. Nasib baik jugalah tak teruk. Dan Alhamdulillah, Atul tak cedera apa-apa. Setiap hari Jumaat, aku memang tak sabar nak ke kelas. Almaklumlah, hari-hari Jumaat ni mesti aku akan terserempak dengan dia, walaupun kadang-kadang cuma dari jauh je.... entah! Aku sebenarnya tak tahu pun  nama sebenar dia. Aku pernah juga dengar member dia panggil dia dengan nama ‘Am’. Tapi pendek sangat! Confirm itu bukan nama dia sebenarkan? Hehehe...
-          Dan seperti yang aku jangkakan, dia ada muncul hari ni. Segaknya dia berbaju putih, berkopiah dan berkain pelikat ringkas. Nak ke masjidlah tu untuk solat Jumaat. Sejuk perut mak dia time lahirkan dia...


25 Julai 2011
-          Hari ni, kelas habis awal pulak. Miss Misha kasi tamat kelas awal tidak seperti biasa. Katanya, dia ada urusan penting yang nak diselesaikan. Dan oleh sebab itu, sebagai ganti kami dibekalkan dengan satu assignment individu. Hurmm...
-          Aku tunggu Shifa dekat atrium kampus sorang-sorang. Kalau tak disebabkan Syifa sms aku untuk balik sama hari ni, confirm aku dah balik dari tadi. Tapi tak apalah. Balik pun, tak ada kawan dekat asrama tu. Roommate semua ada kelas/aktiviti masing-masing. Lagipun sementara menunggu Syifa, boleh juga aku cari jawapan sikit untuk assignment Social Science yang En Azhar bagi masa dalam kelas tadi dekat google handphone aku ni.
-          Lamanya aku tunggu Syifa sampai aku dah tak tahu nak search apa lagi. Sampai orang-orang yang lepak dekat atrium kampus pun dah berganti entah untuk keberapa kali. Huhuhu... dan tiba-tiba, jantung aku ni macam nak jatuh je. Kenapa? Hmmm.. dari jauh aku nampak ‘Am’ tahu. Dia makin dekat... makin dekat... dan makin dekat datang ke arah aku yang tengah duduk menunggu tu. Ya Allah... hari ni aku happy sangat-sangat sebab aku dapat dengar suara dia dari jarak dekat tahu. Hahaha... member dia pulak yang dok duduk belah aku ni dari tadi. Steady je diaorang bercerita. Tapi sedih pun ada, langsung dia tak tengok aku ni?

“Balqis, kenapa tak siap lagi? Bukan kau ada kelas ke tengah hari ni?” terkejut Balqis dengan sergahan Syifa yang tiba-tiba itu. Cepat-cepat Balqis menyorokkan buku diarinya di bawah bantal. Diari pelangi... Balqis mengibaratkan diarinya itu seperti pelangi yang ada pelbagai warna dan sesungguhnya diari itu terkandung kenangan pahit dan manis di dalamnya dan kerana itu Balqis namakan diari pelangi. Itu jawapannya kepada Syifa suatu masa dahulu sewaktu terlihat sebaris ayat “Diari Pelangi’ pada muka hadapan buku itu.

*       *       *
Balqis duduk termenung di halaman asrama perempuan. Sejak dia balik kelas jam 4 petang tadi, dia sudah duduk di situ. Gara-gara dia malas hendak naik ke bilik, jadi dia berhasrat untuk menikmati sahaja cuaca petang yang dingin itu. Tudung kepala yang melitupi kepala dibetulkan sengetnya. Dan perlahan-lahan dia mengeluarkan buku diari dari dalam beg.


02 September 2011
-          Hari ini, aku ke library  sorang-sorang. Mulanya, aku ajak syifa. Tapi dia tak nak. Dia kata dia sakit perut. Hurmm, senggugut datang lah tu. Aku ambil tempat nun jauh tersorok di hujung sana. Bukan apa. Library dah sesak dengan budak-budak junior yang baru daftar minggu lepas. Kami dulu pun macam ni jugalah. Skema... awal semester je rajin baca nota itulah, inilah.. walaupun tak ada dalam silibus pembelajaran. Biasalah, jiwa-jiwa bergelar mahasiswa-mahasiswi masih membara. Hehehe..
-          Tengah dok kusyuk selak-selak nota Management Gurus tu, aku dikejutkan dengan suara garau seseorang. Dan bila aku dongak... Ya Allah, macam dunia ni aku yang punyalah masa tu. Aku pun tak tahulah, berapa minit aku khayal dok tengok dia sampai-sampai dia berdehem depan aku. Malu pun ada sebenarnya. Dia Tanya ‘Tempat ni kosong ke? Meja depan semua dah penuh. Saya nak duduk sini boleh?’ Alahai.... pertama kali dia cakap dan tenung aku. Melting  rasanya... hahaha.. aku pun apa lagi, cepat-cepat tarik beg, buku nota, dan pensel box aku yang berselerak atas meja. Meja yang penuh dengan habuk pemadam, aku sapu dengan tisu. Semuanya demi dia! Yeah!

Balqis senyum sendiri. Sungguh indah dan damai di hati. Sekilas, bayangan Putera Ammar bermain di ingatan. Rindu rasanya dengan wajah yang satu itu.  Lalu, di bukanya lagi lembaran tiap lembaran buku diarinya.

21    Januari 2012

-           Petang tadi, aku ke cafe dengan Syifa, Atul, dan abang Adzim, budak senior kitaorang. Bukan apa, kitaorang cuma  nak  minta tolong dekat abang Adzim untuk subjek Research. Lagipun dia dah senior dan dah pun ambil subjek ni dulu. Jadi tak salahlah junior nak minta tolong dekat senior, kan?
-          Tiba-tiba, dari arah belakang, aku terdengar satu suara yang semacam aku rindu nak dengar lepas kejadian dekat library hari tu. Aku tengok Syifa, Syifa pula dah melopong matanya tengok dekat arah belakang aku. Oh my God! Aku pasti, ni mesti dia yang datang ni. Tapi aku tak berani nak toleh. Alahai... jantung pulak tiba-tiba berdegup semacam. Dan yang paling aku tak sangka, dia boleh duduk depan aku dan sertai perbincangan kami. Rupanya, abang Adzim ni salah seorang member dia rupanya. Lepas tu yang peliknya, abang Adzim yang suruh dia ikut serta dalam perbincangan kami. Kata abang Adzim, dia segan nak ajar kami. Almaklumlah, kami tiga perempuan, dia sorang je lelaki. Lagipula katanya, dia taklah seterror  dan sepandai kawan dia yang sorang tu.
-          Dan hari ini aku mencipta sejarah baru dimana aku dah tahu nama penuhnya. Putera Ammar Bin Rasyid. Patutlah hari tu aku dengar member dia panggil ‘Am’/ rupanya singkatan untuk ‘Ammar’. Indah nama dia. Seindah wajah yang putih berseri. Juga seindah bicara yang mendamaikan hati yang mendengar. Hehe.. Dia ambil kursus education dan umurnya 3 tahun lebih tua dari aku. Wah! Sampai umur pun aku boleh tahu. Hahaha.. semua ni gara-gara Syifa lah. Macam-macam yang dia tanya. Lari dari perbincangan yang sebenarnya! p/s ada juga Ammar tu Tanya aku pasal dekat library hari tu. Fuh! Rupanya dia masih cam dengan muka aku yang tak berapa nak lawa ni. Dan dia kata ‘terima kasih sebab bagi izin saya duduk ari tu’

“Laa... dia ni, apasal tak naik lagi?” tiba-tiba datang Syifa dari arah belakang. Syifa baru sahaja balik dari perbincangan subjeknya yang diadakan di kampus tadi. Tercungap-cungap Syifa kerana kepenatan. “Sudah-sudahlah baca diari kau tu Aqis.” Sambung Syifa lagi. Di hujung kata, ada senyum manis yang dia ukirkan.
“Aku tak boring baca diari aku ni Syifa. Malah, aku rasa hidup aku bersemangat bila baca memori-memori indah yang pernah terlakar dalam hidup aku dulu. Aku rindu masa-masa lalu...” ada kesayuan pula pada nada suara Balqis. Dan sebelum hati dan suasana menjadi sebak, Syifa terus memeluk tubuh Balqis seerat mungkin. Sesungguhnya dia merasai perasaan rindu dan sedih yang menjalar di hati sahabatnya itu.

*       *       *
“Eh Aqis, kau nak aku bungkuskan apa-apa ke untuk kau? Aku dengan Atul nak keluar kejap. Nak ajak kau, confirm kau tak nak kan?” seloroh Syifa sambil duduk di sisi Balqis. Sahabatnya itu sudah siap-siap untuk keluar. Atul pula masih berbual dengan seseorang di dalam telefon di anjung asrama.
“Tak nak lah. Aku tak ada seleralah Syifa. Kau bungkus untuk korang jelah ye.” Jawab Balqis dengan senyuman.
“Ermm, kau janganlah macam ni Balqis. Tak baik tahu tak bersemangat ni. Tak pe, aku bungkuskan untuk kau juga, okay? Aku belanja kau malam ni. Nasi goreng mamak, amacam?” Syifa memujuk. Dan pujukannya itu menjadi apabila Balqis mencuit pipinya dengan gelak tawa.
“Hah! Balqis, Wadah kata nanti dia nak datang sini. Nak pinjam laptop aku. Kau tolong bagi dekat dia ye.... ada atas meja aku tu hah,” Atul memberi pesan. Lalu dicapainya kunci kereta dia atas katil. Balqis sekadar mengangguk. Wajah Waddah, yang baru masuk semester tiga itu terlayar sebentar di ruang ingatannya. Dan kini, Balqis keseorangan di bilik itu. Kedengaran juga suara-suara perbualan teman-teman lain dari bilik sebelah menyebelah. Tapi dia endahkan.  Dan sementara menunggu kedatangan Waddah, diari dicapai. Diselak buku itu mengikut keberadaan sekeping penanda buku.

            13 Febuari 2012
-          Kelas ganti! Huh! Aku rasa bukan aku sorang je yang tak suka bila lecturer kata dia nak buat kelas ganti. Aku bukannya tak suka kelas ganti sebab dengan kelas gantilah kita boleh cover apa-apa pelajaran yang dah tak sempat lecturer nak ajar. Maksudnya, nak habiskan silibus. Tapi yang aku tak suka tu, lecturer selalu pilih masa yang tak sesuai dengan mood aku. Hurm.. contohnya tadi. Sakitnya perut aku hanya Dia je yang tahu. Kiranya tak nak ke kelas tapi memandangkan miss kata pelajaran yang dia hendak ajar hari ni akan keluar dekat midterm akan datang, jadi aku semangatkan diri jugak ke kelas. Harap-harap kena berkatlah ilmu yang aku dapat hari ni. Hehehe
-          Tapi, yang paling bestnya, tengah aku sakit-sakit ada juga indahnya. Haha. Tak pasal-pasal Putera Ammar Bin Rasyid tawarkan diri beli panadol 2 bijik untuk aku. Alahai... mulanya aku tak nak tapi dia paksa juga aku telan panadol tu. Dia kata, selagi aku tak telan panadol tu depan dia, selagi tu dia tak pulangkan buku nota aku yang dia ambil dari atas meja. Aku telan jelah walaupun aku tahu, panadol tu tak mungkin akan sembuhkan sakit perut aku! Takkan aku nak kasi tahu dia ‘aku ni tengah senggugut, takkan nak makan panadol’. Dush! akhirnya aku yang mengalah. Telan jelah...

-          Baru sekejap tadi, aku dapat call dari someone special dalam hati aku. Dia dapat nombor aku time kami tukar-tukar nombor masa study group ari tu. Tak tahulah, kenapa pulak jantung aku ni berdebar semacam. Haha.. betul-betul ada renjatan elektriklah dia tu. Walau tak nampak, tapi dah boleh buat aku bergetar satu badan. Aku buat andaian sendiri, yang dia memang mahu berkawan dengan aku. Yelah, cuba kalau dia tak nak kawan aku, mesti dia dah delete ke... apa ke nombor aku tu kan? Ermm.. logic ke macam tu? Fuh! Tapi aku ada rasa bangga sikitlah sebab dia boleh ingat, kenal dan ada masa nak call aku malam-malam ni semata-mata nak tanya pasal kesihatan aku! Terima kasih! Saya sangat terharu Putera Ammar Bin Rasyid!

Perlahan-lahan Balqis menutup buku diari miliknya. Dia menarik nafas dan menghembusnya perlahan. Putera Ammar... Setiap bait-bait kata Putera Ammar Bin Rasyid terlalu berbekas dalam hati dan jiwanya. Setiap pertemuan demi pertemuan yang tercipta antara dia dan Putera Ammar membuatkan mereka semakin menemui erti keserasian dalam diri masing-masing. Walau tak terungkap dengan kata, tapi dengan pandangan mata sahaja sudah cukup menjelaskan kalau ada perasaan kasih dan cinta dalam diri masing-masing.
Putera Ammar miliki sifat-sifat lelaki yang tulus. Sering dia mengajar Balqis tentang erti hidup yang sebenar. Tentang cinta hakiki yang sewajarnya. Dia lelaki yang berpegang pada cinta Allah. Bukan pada cinta nafsu semata. Setiap tutur katanya terselit kata-kata pujian padaNya. Sesungguhnya dia mencari seorang muslimah yang tidak cintakan dia melebihi cintanya pada Allah. Ya! Dia juga pernah berterus terang dengan Balqis. Kata Putera Ammar, Balqis adalah wanita pertama yang telah menyentuh hati dan perasaannya. Tetapi dia tidak mahu terus-terus menyimpan rasa seperti itu. Dia takut, andai perasaan itu akan mensasarkan tujuan sebenar hidup sebagai khalifah di bumi ini. Justeru, andai ada jodoh antara mereka dia berbesar hati dan redha dengan ketentuanNya.
Menitis air mata Balqis. Sungguh-sungguh dia menangis merindui kenangan, kata, dan wajah Putera Ammar. Dia sedar setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Begitu juga kata Putera Ammar dahulu. Tapi Balqis akui, bukan setiap saat dia kuat menghadapi ujian yang besar dariNya ini. Terkadang, hati rapuh dan sakit bila mengenangkan sejarah yang hanya tinggal kenangan begitu. Kudratnya seakan hilang bila senyuman Putera Ammar terlayar di ingatan.
Akhirnya, dia terlelap di situ tanpa menyambut kedatangan Waddah. Tidur dalam tangisan. Tetapi yang pasti esok dia perlu menjalani saat-saat mendatang dengan berlatarkan kenangan demi kenangan yang akan mengekorinya walau ke mana dia membawa kaki melangkah.

*       *       *
Balqis berjalan longlai balik ke asrama. Baru sekejap tadi dia bersama rakan-rakan sekampusnya menduduki peperiksaan akhir tahun. Hidup berdikari sebagai mahasiswi bagi menamatkan tiga tahun pengajian telah mematangkannya. Telah banyak hitam putih kehidupan yang melekat di benaknya.
Serasanya, Balqis sepatutnya berasa bangga dan gembira kerana berjaya juga dia menamatkan pengajiannya sehingga ke semester akhir. Tetapi tidak! Sedih pula yang bertandang dalam hatinya. Dan seperti biasa, wajah Putera Ammar bertandang lagi dalam fikirannya. Semasa peperiksaan tadi pun, fikirannya sesekali teralih mengenangkan Putera Ammar. Tetapi dia kuatkan semangat. Dia tahu andai Putera Ammar tahu dia tidak menumpukan perhatiannya pada peperiksaan akhir ini, pasti lelaki itu tidak tenang di sana.
Balqis memandang beg-beg besar yang sudah tersusun kemas sejak semalam itu. Sebentar saja lagi dia akan berangkat pulang ke kampung. Dia mahu cepat-cepat meninggalkan asrama, kampus dan kawasan itu. Bukan bermakna dia mahu lupakan semuanya, tetapi dia perlu mencari ketenangan di luar sana. Sudah tidak terbendung rindu yang berkecamuk dalam benaknya.
Dia kemudian mengalihkan pandangan ke laci meja. Lalu membukanya dan terpampang diari pelanginya di dada laci. Perlahan-lahan dia menguak diari itu. Dan bila lembaran terakhir terkuak, laju sahaja air matanya meluruh jatuh ke pipi. Sebak rasa dijiwa. Teresak-esak dia menangis sendiri di situ.
           

18    Jun 2013
-          Hari ini, aku rasa cukup terpukul dengan takdir yang satu ini. Tepat jam 2 petang, dia menghembuskan nafas terakhir di depan mata aku. Aku tak kuat! Kenapa ini yang perlu terjadi disaat bahagia sedang mekar memutik?! Apa salah aku sehingga aku terpaksa menanggung perit ini! Aku tak kuat Ya Allah... sungguh! Aku tak kuat...
-          Putera Ammar dah lama sakit rupanya. Aku saja yang tak tahu. Dulu, dia pernah juga kata yang dia mungkin tak hidup lama. Tapi aku fikir itu hanyalah gurauan semata. Aku tak terfikir langsung kalau kata-katanya itu benar dan bukan dusta. Sebab, suaranya ketika itu bernada biasa. Tiada nada sedih jauh sekali untuk suatu tangisan. Dia tersenyum saja ketika dia memberitahu aku tentang itu. Allah... kalaulah masa boleh di undur semula...
-          Sudah banyak yang aku belajar dari dia. Tentang hidup ini... patutlah, hari tu dia tanya aku apa aku akan buat andai suatu hari nanti orang yang aku sayang, yang aku rapat tiba-tiba pergi. Aku jawab ’saya orang yang tak kuat untuk terima takdir semacam itu. Kalau boleh, saya nak mati dulu dari orang-orang yang saya sayang.’ Saat tu, dia senyum je... kata dia ‘tak baik cakap macam tu. Sebagai seorang hamba, kita kena redha dengan ketentuanNya. Nanti, kalau orang yang awak sayang, orang yang awak rapat pergi dulu sebelum awak, awak kena redha tau... jangan sedih-sedih... ok?’ dan dengan penuh semangat aku kata ‘Ok bos!’

Sekeping gambar yang terselit di buku diari itu ditatap Balqis lama. Gambar dirinya, Putera Ammar, abang Adzim dan Syifa sewaktu mereka belajar berkumpulan tahun lalu ditatapnya dengan juraian air mata.
“Ternyata... hati saya memang tak kuat Am... saya sedih tanggung derita ni. Putera Ammar... saya rindu awak...” bisik Balqis dalam esakkan. Kuat dia menggenggam sekeping gambar itu. Senyuman yang terpamer dari empat anak muda itu bagai menyiat-yiat perasaannya.
“AstagfirullahAladzim... Balqis, kau kenapa ni?” tiba-tiba sahaja Syifa muncul di belakang. Kelam-kabut dia memeluk tubuh teman baiknya itu.
“Ammar...” seakan anak kecil, Balqis menghulurkan sekeping gambar tadi.
“Sabar Aqis. Kau tak boleh macam ni. Demi Putera Ammar, kau kena kuat. Mesti dia tak suka kalau kau macam ni Aqis,” pujuk Syifa. Bertambah erat pelukkan yang dia cipta. Balqis sudah tidak terkata. Yang kedengaran hanyalah esakkan yang semakin berlagu. Sungguh! Dia tidak mahu menangis tetapi dia tidak tahan dengan sebak di dada. Sakit dadanya andai dia terus-terusan menahan tangis.
Putera Ammar... semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Balqis akan selalu mendoakan kesejahteraan Putera Ammar di sana. Dan andai Balqis berjaya dalam peperiksaan akhir tahun ini, itu semua kerana berkat tunjuk ajar Putera Ammar yang tidak henti-henti menyuruh Balqis menelaah pelajaran. Balqis akan selalu  merindui dan mendoakan Putera Ammar.


T.A.M.A.T

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Entry Saya! Like Kalau Suka!

2 comments:

Nurfaezah Abdullah said...

pertengahan cerita sy dapat agak the ending mesti pasal death hehe

anyway, nice story :)

Dlila said...

Nurfaezah Abdullah.. Hehe, anyway thanks sudi baca.. :)